malam ni aimi ada konsert. setiap murid kena bawa sedikit bekal kudapan untuk di kongsi bersama semua murid-murid sebelum konsert bermula. mama buat roti sosej untuk aimi. menjadi rebutan lah pulak roti ni kat rumah. dapat rasa sorang 2 ketul. yang lain untuk sekolah. sedap roti ni, lembut ja.
aimi dah tamat sekolah rendah. bermula september aimi akan naik gred 6 (middle school) di sekolah baru.
resepi dari rahel
Bahan A
240g tepung roti
60g tepung red rose/hongkong/superfine - mala guna tepung gandum :-)
50g gula kastor
5g garam
10g susu tepung
2 st yis segera
1/2 st bread improver
1/2 st bread softner
Bahan B - (disatukan, kacau rata)
1 biji telur C
150g air sejuk
Bahan C
30g mentega tanpa garam
Bahan D
1/2 sudu kecil minyak jagung
Sapuan telur : (disatukan dan kacau rata)
1 biji telur C
50ml air
sosej secukupnya
sedikit bijan
sedikit mentega cair
Cara BreadMaker - masukkan bahan basah di ikuti dengan bahan kering ke dalam BM dan pilih setting Dough / Bread Dough (sekali perap 1jam 30minit)
Cara-cara
1. Masukkan bahan A ke dalam mangkuk besar, kecuali garam. Kacau rata hingga mesra. Masukkan pula garam, kacau lagi sehingga sebati.
2. Masukkan telur dan air perlahan-lahan sambil diuli hingga sebati. Masukkan pula mentega perlahan-lahan (3x) sambil diuli hingga rata.Teruskan menguli doh selama 50-60 minit untuk mendapatkan doh yang betul-betul kenyal. Masukkan pula minyak jagung,uli rata.
3. Biarkan doh mengembang selama 45-60minit. Setelah kembang, sapu tangan dengan
sedikit minyak dan tekan-tekan doh untuk keluarkan angin. Bulatkan doh kembali.
Rehatkan lagi 15 minit.
4. Timbang doh 60g setiap satu. Bulatkan doh. Kemudian canai bentuk bujur, letak satu batang sosej dan gulung kemas. Biarkan kembang selama 45-60 minit. Setelah kembang, sapu permukaan bun dengan telur dan taburkan bijan.
5. Bakar di dalam oven yang sudah dipanaskan pada suhu 180'C selama 15-25 minit.
6. Setelah masak, panas-panas di oles dengan mentega.
Tips
* Sentiasa sapu tangan dengan sedikit minyak/tepung jika doh melekat pada tangan.
* Doh harus diuli hingga betul-betul kenyal untuk mendapatkan bun yang enak dan sentiasa lembut walau pun disimpan dalam bekas kedap udara selama 2-3 hari.
* Jika terdapat gelembung udara semasa mencanai doh, tekan-tekan dengan telapak jari untuk keluarkan angin.